Thursday 12 April 2012



KONSEP, DEFINISI DAN KEPENTINGAN REKREASI DAN
KESENGGANGAN

REKREASI


Rekreasi banyak berkait dengan penggunaan masa. Masa digunakan manusia bagi
memenuhi pelbagai kehendak dan keperluan asas manusia seperti untuk makan, minum
dan tidur, keperluan hidup melakukan pelbagai jenis pekerjaan, dan keperluan untuk
berehat. Masa yang dimaksudkan ini boleh didefinisikan sebagai waktu lapang, iaitu waktu
yang wujud untuk manusia bebas melakukan apa sahaja dengan kemahuan mereka
sendiri. Aktiviti yang dilakukan pula bebas dari sebarang unsur-unsur paksaan. Aktiviti
rekreasi adalah merupakan komponen pelbagai bentuk aktiviti ruang dipilih manusia untuk
mengisi masa lapang mereka.

Berikut adalah antara beberapa teori yang anda boleh kaitkan mengenai rekreasi dan
memudahkan anda memahaminya:

(a) Membantu mewujudkan kesejahteraan kesihatan melalui rekreasi

(b) Lebihan tenaga yang boleh disalurkan untuk berekreasi

(c) Wujud pendekatan penggunaan pergerakan fizikal

(d) Pelaksanaan aktiviti tanpa paksaan dan menurut naluri sendiri

(e) Membantu melepaskan tekanan dan pelepasan emosi terkurung

(f) Mampu mengembalikan kesegaran tenaga (energy restoration)

(g) Membantu dalam penglahiran rasa (self expression).

Para penggiat rekreasi menggariskan bahawa rekreasi adalah aktiviti, terutamanya aktiviti
fizikal, yang mempunyai ciri berikut:

(a) Coraknya beraneka

(b) Aktiviti ini boleh dilakukan secara berseorangan atau berkumpulan

(c) Penyegaran jasmani dan rohani

(d) Perlaksanaan atau penyertaan seseorang dalam aktiviti ini adalah secara sukarela

(e) Masa dilakukannya adalah di luar masa bertugas

(f) Tiada sebarang jadual waktu untuk melakukan aktiviti itu

(g) Aktiviti yang dilakukan oleh seseorang itu seharusnya berlainan corak daripada
aktiviti tugasnya yang lazim

(h) Selain daripada untuk mengisi masa lapang luar tugas, aktiviti ini juga bertujuan
menjadikan seseorang itu melupakan buat sementara waktu dan tekanan kerja
sehariannya.

Rekreasi perlu dilihat sebagai satu aktiviti yang terancang dan mampu memenuhi masa
lapang. Rekreasi merupakan aktiviti yang dipilih secara sukarela bertujuan untuk
mendapat keseronokan, ketenangan minda dan merehatkan badan. Dalam aktiviti rekreasi
tiada peraturan tertentu yang piawai digunakan. Aktiviti rekreasi boleh dijalankan dan
diberhentikan bila-bila masa dan dalam bentuk sejagat. Rekreasi adalah kehidupan di luar
rutin harian dan memberi kesan yang positif terhadap aspek jasmani emosi dan rohani dan
intelektual.


No comments:

Post a Comment